Aksi kedua AFF Suzuki bagi Kumpulan A diantara Malaysia dan Laos, menyaksikan kemenangan kedua buat skuad negara dengan jaringan 3-1. Sebelum itu, skuad negara telah dikejutkan dengan jaringan awal pihak lawan melalui sepakan percuma jarak jauh yang berjaya menewaskan penjaga gol negara Khairul Fahmi.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara telah menggandakan serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui Zaquan Adha hasil umpanan cantik Muhammad Syahmi. Selepas itu, pasukan negara meneruskan penguasaan bola dan melakukan serangan namun tidak menemui penyudah jaringan.
Bersambung di babak kedua, Malaysia akhirnya berjaya menyumbat 2 lagi gol pada minit-minit akhir melalui Norsahrul Idlan Talaha. Gol lewat tersebut akhirnya memastikan kemenangan buat pasukan negara dan mengutip 3 mata penuh dan mengumpul 6 mata selepas perlawanan kedua.
Pada perlawanan ini, saya melihat Muhammad Syahmi, pemain pertahanan sayap kanan banyak membantu pasukan dengan gerakan dan umpanan cantik. Begitu juga, pemain tengah (Akram dan Syafiq) begitu konsisten mengawal bahagian tengah dan merancang serangan. Sesekali melihat skill yang ditunjukkan oleh Akhyar Rashid dan Muhamad Safawi, begitu mengujakan dan menghiburkan.