KOTA KINABALU: Tambadau Sabah menyelesaikan misinya menjulang gelaran juara Liga Premier 2019 di Stadium UiTM Shah Alam dengan menumbangkan pasukan tuan rumah 2-1.
Kemenangan itu memberikan mata ke-40 buat Tambadau iaitu jumlah yang tidak dapat dipintas oleh mana-mana pasukan dalam saingan itu.
Kejayaan menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi itu bagaimanapun tidak diperolehi dengan mudah.
Skuad kendalian Jelius Ating itu malahan suatu ketika ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama sebelum bangkit dengan dua gol di babak kedua untuk keluar sebagai juara bagi melengkapkan kejayaan mengesahkan tempat ke Liga Super dengan menumbangkan JDT II di Stadium Pasir Gudang minggu lalu.
Bagaimanapun secara keseluruhannya perlawanan itu dikuasai Tambadau.
Gawang Tambadau dibolosi sepakan percuma Zarko Korac dari garis kotak penalti yang menembusi benteng dan penjaga gol Rozaimie Rohim terpaku melihat bola mencecah jaring untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-29.
Ia adalah satu-satunya peluang UiTM berbanding enam peluang yang dicipta tetapi gagal diterjemah kepada jaringan oleh Tambadau pada babak pertama.
Aksi babak kedua agak seimbang tetapi ianya Tambadau Sabah yang lebih bertuah dengan menyempurnakan dua daripada peluang yang dimilikinya.
Gol yang dicari-cari Tambadau menjelma pada minit ke-57 hasil sepakan penalti Rodoljub Paunovic yang tenang mengesahkan bola ke arah bertentangan dari layangan badan penjaga gol untuk menyamakan kedudukan.
Sepakan penalti itu diberikan pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa kepada Tambadau selepas bola terkena tangan salah seorang pertahanan UiTM FC yang cuba menghalang gerakan Alto Linus di dalam kotak penalti.
Lebih 2,000 penyokong Sabah termasuk Pemangku Presiden SAFA Datuk Peter Anthony dihadiahkan dengan gol kemenangan menerusi tandukan Aguinaldo Mendes terhadap sepakan sudut Ricco Nigel Milus pada minit ke-66.
sumber: utusan Borneo Online
Catat Ulasan
0 ulasan: